Tuesday, March 1, 2011

Sukma Ke-14: Terengganu buru kejuaraan \treble\

KUALA TERENGGANU - Kontinjen Terengganu bertekad mengulangi kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia Ke-14 di Kuala Lumpur dari 2-12 Jun ini.
Mereka berhimpun sambil berikrar untuk mencapai sasaran itu pada majlis pelancaran Kontinjen Terengganu ke Sukma 2011, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.

Terengganu menyasarkan 24 pingat emas daripada 20 acara yang dipertandingkan pada temasya itu nanti dengan tumpuan kepada acara kanu dan berbasikal.

Acara kanu menyasarkan 10 emas manakala berbasikal empat emas.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran pungutan pingat emas itu berdasarkan jumlah acara yang dipertandingkan.
Malah, katanya, ia terbukti keunggulan atlet Terengganu sewaktu beraksi di luar negeri ini termasuk kejayaan pada Sukma di Melaka tahun lalu, sekali gus menjadi penanda aras kepada misi memburu kejuaraan kali ketiga berturut-turut.

"Ketika Terengganu muncul juara kali pertama pada 2008 (di Terengganu), ramai melabel kita sebagai jaguh kampung. Atlet-atlet kita telah buktikan mereka bukan jaguh kampung apabila muncul juara kali kedua di Melaka.

"Kini, dengan perubahan baru dalam penganjuran temasya Sukma, saya cukup yakin kita mampu mengulangi kejayaan serupa di Kuala Lumpur," katanya ketika menyempurnakan majlis pelancaran Kontinjen Terengganu itu semalam.

Sukma ke-14 tahun ini tampil dengan pembaharuan yang menyaksikan temasya berprestij itu dipertandingkan setiap tahun, berbanding dua kali setahun sebelum ini.

Terengganu yang disertai 246 atlet serta pegawai akan menyertai 16 daripada 20 acara sukan pada temasya ke-14 selama 10 hari itu.

Enam belas acara itu antaranya berbasikal (trek), bina badan, bola jaring, bola baling, futsal, judo, kabaddi, kanu, lawan pedang, ping pong, ragbi, tenis dan sofbol.
Mengenai acara kanu dan berbasikal yang dijadikan sandaran untuk pungutan emas, Rozi mengakui dua acara itu cukup sinonim dengan Terengganu.

Katanya, penyertaan kali ini lebih banyak didominasi atlet-atlet muda untuk menyambung kecemerlangan atlet elit sedia ada seperti Azizulhasni Awang dan Anuar Manan.

Selain kenu dan berbasikal, Terengganu yang akan diterajui ketua kontinjen, Datuk Wan Ahamad Wan Muda turut mensasarkan tiga emas untuk acara judo, lawan pedang (dua) dan masing-masing satu emas untuk ragbi, softbol, bola baling, futsal dan bola tampar.