Wednesday, June 4, 2008

Sukma: Marellyn idam jejak ke Olimpik

Oleh Lukman Salleh, Harris Rajahdin dan Hamid Salleh




Sasar catatan bawah 1:01.43s pada medan kelayakan terakhir di Terbuka Singapura, esok

MARELLYN Liew memanaskan badan dalam usaha layak ke Sukan Olimpik dengan kuakan bertenaga untuk merampas kembali rekod kebangsaan miliknya dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu pada hari kelima acara renang di Kompleks Renang , Batu Burok, semalam.

Perenang Sabah itu yang kehilangan hak berbangga itu kepada Luisa Los Santos yang melakukan 1 minit 02.08 saat di Sukan Sea Korat, mencecah blok penamat dengan 1:01.82s untuk meraih emas diikuti Hii Siew Siew dari Sarawak yang tiba tiga saat di belakang, 1:04.82s. Cheng Karmen dari Perak di tempat ketiga dengan 1:05.08s.


Marellyn, 19, yang melakukan 1:01.98s pada ujian masa selepas Terbuka Malaysia bulan lalu tetapi tidak diiktiraf sebagai rekod kini akan mensasarkan kepada usaha mencecah di bawah 1:01.43s pada kejohanan kelayakan terakhir Olimpik, Terbuka Singapura, esok.

"Saya akan bertolak ke Singapura esok (hari ini) dalam usaha terakhir untuk layak ke Olimpik. Ia adalah peluang terakhir saya untuk melayakkan diri. Saya akan berusaha melakukan yang terbaik di sana," kata pemilik tiga emas itu.

Marellyn sebelum ini merakamkan rekod baru dalam 50m kuak kupu-kupu dan 4x100m gaya bebas.

Selain Marellyn, empat rekod Sukma dicatat semalam dalam 100m kuak kupu-kupu, 400m gaya bebas, 4x200m gaya bebas lelaki dan 4x200m gaya bebas wanita.

Perenang kebangsaan yang sudah melayakkan diri ke Olimpik, Daniel Bego tidak banyak memerah keringat memenangi emas dalam 100m kuak kupu-kupu dengan catatan baru, 55.27s.

Khoo Cai Lin yang juga sudah menempah tiket ke Beijing, mencatat 4:18.94 dalam 400m gaya bebas untuk rekod kejohanan baru dengan usahanya meleburkan rekod Malaysia 22 tahun milik Nurul Huda Abdullah, 4:17.86 tidak tercapai

Kuartet Sarawak dianggotai Ling Yeng Ching, Eric Chang, Bryan Derrick Lim dan Daniel mudah menjuarai 4x200m dengan masa baru 7:57.81 menggantikan 8:05.94 yang juga dilakukan oleh negeri itu yang ketika itu turut dianggotai Daniel pada Sukma 2002 di Sabah. Selangor meraih perak (8:08.22) manakala Wilayah Persekutuan merangkul gangsa (8:10.68).

Gandingan empat perenang Wilayah Persekutuan - Heidi Gan, Tania Lee, Chong Siew Mun dan Chan Kah Yan - merangkul emas berganti-ganti wanita dengan merakamkan 8:41.04. Selangor meraih perak dengan 8:54.67 manakala Sabah di tempat ketiga dengan 9:03.75.

Carmen Ooi yang mewakili Terengganu mencuri tumpuan apabila meraih emas renang kedua dalam sejarah tuan rumah apabila menjuarai 200m kuak kupu-kupu wanita dengan mengenepikan perenang pilihan, Raja Azlina Izzah Raja Shahrom dari Selangor. Raja Azlina yang terlepas hatrik gelaran kuak kupu-kupu selepas meraih emas 50m dan 100m terpaksa berpuas hati dengan perak (2:44.64) dan Erika Kong dari Sarawak meraih gangsa (2:46.41). Melengkapkan senarai, Kevin Yeap dari Perak yang merangkul emas dalam 400m gaya bebas.

BH

No comments: