Wednesday, May 28, 2008

Cai Lin tetap mahu emas Sukma


CAI LIN


KHOO CAI LIN yang terpilih mewakili negara bagi acara renang pada Sukan Olimpik Beijing Ogos depan, berazam memenangi pingat emas bagi Selangor pada Sukan Malaysia (Sukma) XII yang bermula di Kompleks Akuatik Batu Burok, Kuala Terengganu Ahad ini.

Perenang berusia 19 tahun yang memegang rekod kebangsaan bagi acara 200m gaya bebas dan 800m gaya bebas ini juga dijangka mengambil bahagian dalam dua acara berganti-ganti.

Selain Cai Lin, perenang lain yang akan beraksi pada temasya kali ini termasuk tiga lagi wakil negara ke Sukan Olimpik iaitu Daniel Bego dari Sarawak (200m gaya bebas, 100m dan 200m kupu-kupu), Lew Yih Wei dari Negri Sembilan (400m rampaian individu) dan Leung Chii Lin dari Sabah (50m gaya bebas).

Yih Wei, 17, mencatat kejayaan cemerlang pada Sukma 2006 apabila memenangi pingat emas bagi acara 200m kuak lentang, kuak dada dan kupu-kupu; 200m, 400m dan 800m gaya bebas; dan 200m dan 400m rampaian individu.

Dia juga mencipta rekod baru Sukma bagi tujuh daripada sembilan acara yang dimenanginya, termasuk rekod kebangsaan bagi acara 200m kuak lentang.

Sukma kali ini akan mengubah format dalam menentukan juara keseluruhan.

Berbanding jumlah mata yang dijadikan penentu dalam menetapkan juara keseluruhan sebelum ini, Sukma Terengganu 2008 akan menobatkan juara keseluruhan berdasarkan jumlah pingat emas yang diraih oleh sesebuah kontinjen.

KOSMO

No comments: