Monday, May 26, 2008

Habuan lumayan nanti atlit tuan rumah

KONTINJEN Terengganu di Sukma 2008 bakal mencipta lembaran baru apabila ditawarkan habuan wang tunai tinggi sebagai ganjaran jika berjaya memperoleh pingat.

Atlit negeri tuan rumah itu bakal menerima habuan bernilai RM3,000 jika memenangi emas, RM1,500 untuk perak dan RM750 untuk gangsa dan insentif lumayan itu diumumkan sendiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said ketika majlis penyerahan bendera kelmarin.

Lebih menarik, Ahmad Said turut mengumumkan tidak akan ada diskriminasi antara pemenang individu dan berpasukan kerana setiap atlit akan menerima jumlah ganjaran yang sama.


“Saya bangga untuk mengatakan Terengganu adalah negeri pertama melakukannya, tiada diskriminasi dalam pemberian jumlah kemenangan kepada pemenang pingat emas individu atau berpasukan.

“Tidak ada negeri lain yang melakukannya, kami mengambil inisiatif ini untuk mengiktiraf atlit lelaki dan wanita. Insentif ini adalah ganjaran kepada pengorbanan yang dilakukan atlit, ” kata Ahmad Said.

Kontinjen Terengganu terus diberi galakkan apabila Ahmad Said mengumumkan mana-mana atlit yang berjaya mencatat rekod baru kejohanan akan diberi tambahan RM1,000.

Selain itu, setiap atlit akan terus diberi RM200 selepas memenangi emas, RM130 untuk perak dan RM70 untuk gangsa dalam acara individu manakala bagi pemenang emas berpasukan pula mereka akan menerima RM150.

Pemenang-pemenang pingat emas juga dijanjikan percutian sambil belajar di luar negara dan Ahmad Said berharap ganjaran lumayan itu akan meningkatkan moral atlit bagi mencatat kejayaan terbaik Terengganu di Sukma.

BH

No comments: