Wednesday, May 28, 2008

Harimau Selatan mahu 40 emas


ATLET Johor bersemangat memburu kejayaan pada Sukma XII di Terengganu.


SASARAN 40 pingat emas.
Itulah impian kontinjen Johor pada Sukan Malaysia (Sukma) XII yang akan berlangsung di Terengganu bermula Sabtu hingga 9 Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday berkata, dia yakin kontinjen Johor yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu dapat mencapai sasaran tersebut.

Menurutnya, sasaran tersebut adalah berdasarkan kepada beberapa faktor termasuk penyertaan semula beberapa jenis sukan yang dikuasai Johor seperti kayak dan judo.

"Selain itu, peningkatan had umur daripada 21 kepada 23 tahun dalam beberapa cara sukan juga memberi kelebihan kepada kita.

"Ia ditambah dengan kelonggaran untuk membenarkan atlet yang mewakili negara untuk beraksi pada Sukma 2008 nanti," katanya pada majlis penyerahan bendera negeri kepada kontinjen Johor di Teluk Danga, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menurut Md. Jais lagi, pada temasya kali ini Johor menghantar seramai 466 atlet dan 269 daripadanya adalah atlet lelaki.

Sebagai persediaan menghadapi Sukma XII, Johor turut menghantar atletnya berlatih di luar negara bagi memantapkan lagi prestasi mereka.

Antara pasukan yang menjalani latihan di luar negara termasuk skuad lawan pedang di Makati, Filipina, silat (Batam, Indonesia) dan judo (Surabaya, Indonesia).

Sementara itu, dalam ucapan ringkasnya, Abd. Ghani menekankan agar atlet Johor memelihara disiplin selain mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi.

"Ini adalah untuk menjaga nama baik negeri Johor.

"Selain itu, apa yang diharapkan adalah mereka boleh mencapai sasaran 40 pingat emas," ujarnya.

KOSMO

No comments: