Wednesday, May 28, 2008

Terengganu, Kedah dipaksa kerja keras

Oleh Lukman Salleh, Harris Rajahdin dan Hamid Salleh


CABAR pemain Terengganu, Ahmad Nordin Alias (kanan) cuba merampas bola daripada pemain Perak, Mohd Asrul Shafie di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Juara dan naib juara lalu diberi saingan sengit

JUARA dan naib juara Sukan Malaysia (Sukma) dua tahun lalu, Terengganu dan Kedah, masing-masing bergelut untuk melakarkan kemenangan ke atas lawan masing-masing apabila acara bola sepak memulakan aksinya, semalam.

Terengganu, tuan rumah Sukma XII terpaksa berhempas pulas menundukkan Perak 3-2 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, manakala Kedah, juga bergelut untuk mengatasi Sabah dengan jaringan yang sama di Padang A, Kompleks Sukan Gong Badak (KSGB), semalam.


Bagi Kedah, yang membariskan ramai pemain Liga Super dan Liga Perdana, tampak belum dapat mencapai keserasian, dengan gerakan yang agak tumpul serta pertahanan lemah, yang menyaksikan Sabah, hampir lagi berjaya mencuri mata.

Namun jaringan pemain muda berbakat Mohd Bunyamin Omar, yang meledakkan dua gol pada minit ke-25 dan 56 melalui sepakan penalti, serta jaringan Mohd Hazwan Zainun, cukup memastikan kemenangan Kedah.

"Memang perlawanan pertama agak sukar tetapi saya gembira dapat menyumbang dua gol untuk membantu kemenangan Kedah," kata Bunyamin, antara dua pemain yang mendapat peluang menjalani latihan singkat dua minggu di kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea, bulan lalu.

"Tetapi masih ada ruang untuk kami meningkat kerana perlawanan yang kami tunjukkan hari ini tidaklah memuaskan.

"Saya percaya perlawanan berikutnya (menentang Kelantan), kami akan dapat meningkatkan permainan sebelum turun bertemu Selangor," katanya.

Sabah, yang ketinggalan 2-0 pada separuh masa bangkit merapatkan jurang melalui sepakan penalti yang disempurnakan Azrul Ejati pada minit ke-51 tetapi kemudian mendapati diri mereka ketinggalan 3-1 apabila Bunyamin pula menyempurnakan penalti lima minit kemudian.

Sabah tidak berputus asa dan pada minit ke-85 berjaya menyumbatkan gol kedua melalui Muhd Ibnu Kassim selepas menerima hantaran lintang sebelah kiri.

"Memang ada kekurangan dalam perlawanan kami hari ini terutama sekali dalam membentuk keserasian antara pemain Liga Super dan Liga Perdana dalam skuad Kedah," kata jurulatihnya, Muhamad Ramlee.

"Tetapi ia tidak membimbangkan saya kerana masih ada masa untuk kami memperbaiki segala kesilapan dan mencari keserasian."

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Selangor dengan mudah menudukkan Kelantan, 3-0.

Selangor mendahului 1-0 pada separuh masa melalui jaringan Mohd Fitri Shazwan Riduwan pada minit ke-40, sebelum menambah dua gol lagi selepas perlawanan bersambung semula melalui Mohd Zaiza Zainal Abidin (m-51) dan Mohd Alifi Mahmud (m-65).

Berita Harian

No comments: