Monday, May 26, 2008

MSN cadang rendahkan lagi had umur atlit Sukma

Oleh Lukman Salleh

MAJLIS Sukan Negara (MSN) bermain dengan idea untuk merendahkan had umur penyertaan atlit Sukan Malaysia (Sukma) daripada bawah-23 tahun ketika ini kepada bawah-21 ataupun 19 bagi mengelak kontroversi pembabitan atlit kebangsaan.

Selain memastikan bakat baru dapat dicungkil dan dibentuk pada usia yang lebih muda, MSN juga mahu memantapkan peraturan Sukma bagi memastikan ia tidak berubah-ubah seperti apa yang berlaku setiap kali kejohanan ini dilangsungkan dua tahun sekali.

“Secara peribadi saya berpendapat sistem pengurusan Sukma sekarang ini tersusun,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong (gambar) ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Jalil, semalam. “Cuma kita perlu melihat kepada peraturan penyertaan atlit yang dihadkan kepada umur bawah-23 tahun.


“Bagi saya penyertaan yang dihadkan kepada peringkat umur ini adalah terlalu tua bagi seseorang atlit terutama sekali untuk pembangunan serta pembentukannya untuk menjadi atlit kebangsaan.

“Pada usia ini sepatutnya atlit terbabit sudah menjadi atlit kebangsaan dan bukannya baru hendak dicungkil bakat. Bagi saya, had umur bawah-21 adalah paling sesuai malah saya juga bersedia untuk mengurangkan kepada bawah-19 tahun.

“Selain dapat mencungkil bakat pada peringkat lebih muda serta tempoh yang mencukupi untuk membentuk mereka menjadi atlit kebangsaan, ia juga boleh menyelesaikan masalah yang sering berlaku setiap kali Sukma berlangsung iaitu pembabitan atlit kebangsaan,” kata Zolkples.

Sukma XII di Terengganu, bakal berlangsung Sabtu ini, turut menyaksikan permintaan supaya beberapa atlit elit kebangsaan dibenarkan bertanding tetapi dihadkan acara yang boleh disertai mereka, bagi memastikan lebih banyak penyertaan serta tidak menjadi penghalang atlit lain untuk bertanding.

Walaupun majoriti sukan yang dipertandingkan membabitkan peringkat umur bawah-23 tetapi ada beberapa sukan turut mengenakan had umur lebih rendah iaitu bawah-21 seperti renang, badminton hoki.

Bagi Zolkples, apa yang penting ialah mencari peraturan terbaik, dipersetujui semua pihak dan tidak akan berubah setiap kali berlangsung temasya ini.

“Kita sudah membuat keputusan mengenai peraturan Sukma, tetapi apa saja keputusan yang kita buat, ada sahaja pihak yang tidak bersetuju,” kata Zolkples, “Oleh itu, kita perlu mencari langkah terbaik agar peraturan Sukma tidak akan berubah-ubah setiap kali pertandingan dilangsungkan.

“Masalahnya, ada pihak yang berkata setuju dengan keputusan yang kita buat mengenai peraturan Sukma, tetapi lepas itu, orang yang sama mengkritik keputusan kita selepas itu.

“Oleh itu, kita perlu mencari peraturan yang terbaik supaya ia kekal konsisten dengan setiap pengelolaan.

“Jangan pada setiap Sukma kita tukar peraturan... bagi saya ia bukan keputusan yang bagus,” katanya.

BH

No comments: