Wednesday, May 28, 2008

Sukma belum bermula tapi sudah kecoh


SEBAHAGIAN peniaga menunjukkan notis yang akan diberikan kepada sekreteriat Sukma XII mengenai gerai mereka yang tidak memiliki kemudahan lengkap di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak.


SUKAN Malaysia edisi ke-12 belum bermula secara rasminya, tetapi kekecohan sudah berlaku.

Perkara seperti ini tidak elok untuk disajikan kepada pengunjung sempena Sukan Malaysia (Sukma) XII kerana bak kata pepatah, 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.'

Kekecohan itu berlaku disebabkan salah faham yang tercetus di tapak acara temasya itu di Stadium Utama, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak.

Semuanya gara-gara penganjuran satu karnival di tapak A perkarangan stadium itu yang statusnya mengelirukan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.

Penganjuran karnival itu dikatakan tidak mendapat kelulusan permit daripada pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), sedangkan pada awalnya peserta telah dijanjikan oleh pihak Sekretariat Sukma XII untuk menguruskan permit tersebut.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana permit tidak diuruskan seperti yang telah dijanjikan sebelum ini.

Keadaan itu disedari setelah pihak MBKT datang ke tapak karnival itu untuk menghalang penganjuran karnival berkenaan.

"Kami rasa teraniaya dan amat kecewa atas segala yang berlaku itu," luah penganjur karnival itu, Andri Abdul Hadi pada satu sidang media di perkarangan stadium berkenaan.

Lebih memeranjatkan mereka apabila janji-janji yang ditaburkan pihak sekretariat untuk menguruskan permit mereka tidak dikotakan.

Malah, dia bersama 30 peniaga lain terpaksa menanggung segala kerugian termasuk kos bekalan elektrik dan air dan bayaran artis untuk konsert, yang mencecah hampir RM850, 000.

"Dulu kami dijanjikan dengan kemudahan bekalan air dan elektrik, malah mereka juga memberitahu akan menguruskan permit penganjuran karnival ini.

"Tetapi apabila semuanya sudah siap dipasang, lain pula yang jadi," jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Tajaan, Promosi dan Publisiti Sukma, Khairol Azmei berkata, sebenarnya perjanjian yang dibuat adalah untuk karnival Pra Sukma, bukannya Sukma.

"Karnival itu sepatutnya diadakan pada Pra Sukma lalu, tetapi disebabkan beberapa masalah ia ditunda untuk Sukma.

"Tetapi surat yang kami keluarkan hanya untuk Pra-Sukma dan tiada kaitan langsung dengan Sukma.

"Yang boleh kami katakan bahawa kami tidak pernah menghalang mereka untuk berniaga," jelasnya.

Tambahnya, pihaknya juga tidak akan bertanggungjawab dalam masalah tersebut kerana pihak sekretariat tidak pernah menghalang penganjuran karnival tersebut.

Ketika ditanya mengapa pihaknya tidak mengeluarkan surat perjanjian untuk penganjuran karnival Sukma itu, Khairol berkata: "Mungkin kami terlepas pandang."

KOSMO

No comments: