Monday, May 26, 2008

Sasaran Kata: Penganjur bukan ukuran Sukma

Norbakti Alias

Kejayaan temasya dwi-tahunan itu bukan pada percikan bunga api, aksi atlit paling penting

SABTU ini bermulalah edisi terbaru Sukan Malaysia (Sukma) di Terengganu yang akan berlanjutan sehingga 9 Jun ini.

Sama seperti edisi-edisi sebelum ini, penulis ternanti-nantikan siapa bakal menjadi bintang kali ini dan sejauh mana kemampuan atlit muda ini apabila didedahkan di pentas antarabangsa.


Seperti yang diketahui, Sukma adalah medan atlit muda mencari peluang mencipta nama dan penulis harap matlamat ini akan benar-benar tercapai.

Pada masa sama, penulis juga berharap Terengganu tidak akan jadi seperti tuan rumah-tuan rumah sebelum ini yang terlalu ghairah mengejar status penganjur terbaik yang jelas dimulakan oleh Sarawak pada 1990.

Bukannya apa. Buat apa setakat menang sorak. Mungkin ramai yang akan terpegun dengan program menarik bagi acara pembukaan atau penutup, tapi apa kena mengena semua itu dengan sukan.

Dalam sukan, ketinggian mana sekali pun formasi percikan bunga api, tetap tidak ada maknanya tapi ukuran sebenar adalah pencapaian atlit di gelanggang.

Mungkin percikan bunga api yang menghiasi langit itu cukup indah tapi ia setakat untuk 10 atau 15 minit dan selepas itu, semua orang sudah melupakannya.

Ia hanya sekadar hiasan kosmetik luaran. Bagi media yang akan membuat liputan itu nanti, semua itu tidak penting kerana ia langsung tidak ada dalam senarai pungutan pingat.

Sebaliknya, bagi pihak media, kelancaran dalam mendapatkan keputusan serta persembahan baik daripada atlit menjadi idaman kerana itulah tarikan sebenar temasya sukan, bukan acara yang setakat menguntungkan pihak tertentu sahaja.

Sememangnya ia amat menyedihkan untuk melihat penganjur lebih ghairah menjadi penganjur terbaik. Kenapa status jadi penganjur terbaik terus menjadi buruan?

Penulis faham, mungkin ada negeri yang menjadi tuan rumah berasa ‘malu’ jika tidak mengadakan upacara pembukaan secara besar-besaran tapi adakah itu benar-benar penting. Bukan penulis mahu acara pembukaan diadakan seperti sukan tahunan peringkat sekolah tapi salahkah jika diadakan secara sederhana atau lebih baik sedikit daripada temasya sukan peringkat negeri?

Malaysia sudah terkenal di mata dunia sebagai penganjur sukan terbaik tapi buat apa setakat menang sorak jika aksi pasukan sendiri entah ke mana.

Apakah untungnya jika kos mengadakan pertunjukan bunga api dan acara lain untuk majlis pembukaan dan penutup mampu mencecah ratusan ribu ringgit. Bukankah lebih baik wang sebanyak itu digunakan untuk menyediakan atlit.

Penulis juga terkejut kerana masih ada keghairahan negeri tertentu yang mahukan atlit kebangsaan dibenarkan beraksi pada Sukma. Sudah terlalu tandus bakatkah negeri-negeri itu atau sekadar mahu menang sorak.

Antara atlit kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini yang dikatakan akan mewakili negeri masing-masing pada Sukma ialah pelumba trek basikal, Azizulhasni Awang (Terengganu), perenang Daniel Bego (Sarawak), Lew Yih Wey (Negeri Sembilan), Khoo Cai Lin (Selangor) dan Leung Chii Lin (Sabah) serta jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei (Selangor).

Penulis tidak salahkan atlit ini kerana mereka perlu akur kepada permintaan negeri, lagipun ada ganjaran buat mereka jika menang, sedangkan di Olimpik, peluang untuk mendapatkan pingat sememangnya agak sukar.

Tapi, siapa yang akan bertanggungjawab jika atlit ini cedera di Sukma sehingga menjejaskan persiapan mereka ke Beijing sedangkan untuk layak beraksi di sukan terbesar dunia itu, bukan sesuatu yang mudah.

Siapa yang akan malu lebih besar jika atlit ini sekadar hadir untuk mencukupkan angka, bukannya melakukan catatan peribadi terbaik.

Sudah cukup jelaslah bahawa Konvensyen Sukma anjuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 2006 yang mencapai resolusi tidak membenarkan atlit Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Kejohanan Dunia dan pemenang pingat Sukan Sea beraksi di Sukma, hanya sia-sia.

Segala perbelanjaan untuk konvensyen itu jelas satu pembaziran apabila negeri-negeri terus berlumba-lumba mahu menampilkan atlit terbaik mereka semata-mata demi meraih pingat emas sehingga mengenepikan kepentingan negara.

Mungkin selepas ini elok Sukma terbuka untuk semua atlit termasuk atlit kebangsaan supaya semua boleh menang sorak. Tapi, jangan terlalu cepat lega kerana selepas itu kita akan didedahkan dengan sandiwara tarik-tali merebutkan atlit pula. Percayalah.

BH

No comments: