Wednesday, May 28, 2008

Selangor buka langkah kanan


PERTEMUAN sulung antara Selangor dengan Kelantan dalam acara bola sepak Sukma XII semalam.


SELANGOR memulakan langkah kanan apabila mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Kelantan pada saingan Kumpulan B acara bola sepak temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII di Padang B, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.

Skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan yang juga jurulatih skuad senior Selangor, Dollah Salleh itu berada pada kelas tersendiri dengan corak permainan bertenaga sepanjang 90 minit permainan itu berlangsung.

Selangor yang bertekad untuk mengulangi kejayaan meraih pingat emas pada edisi 1998 memperoleh gol menerusi Mohd. Fitri Shazwan Raduwan pada minit ke-40, Zaiza Zainal Abidin (minit ke-51) dan Alafi Mahmud (minit ke-65).

Bagi Dollah, kejayaan yang dilakar anak buahnya pada perlawanan pertama ini banyak dibantu dengan kehadiran pemain berpengalaman yang beraksi dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana.

Menurutnya, barisan serangan berjaya melakukan beberapa serangan merbahaya sambil dibantu posisi pertahanan yang banyak menangkis serangan lawan.

"Saya dapat merasakan persembahan pertama kami agak mantap. Kami mengharapkan ia dapat dikekalkan pada perlawanan seterusnya," katanya.

Antara pemain Liga Super Selangor yang beraksi dalam skuad Sukma kali ini termasuklah penjaga gol, Nuraizat Aziz, Zaiza, Fadzirul Zakaria, Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim, Fazilidin Khalid, Nasriq Baharom dan Wan Hoesne Wan Hussain.

Selain itu, beberapa pemain dari skuad Liga Perdana PKNS turut diserapkan dalam skuad ini seperti Alafi, Fairul Nizwan Nasir, Aizul Ridzwan Razali, Adib Azuddin Latif serta Sazali Suwandi dan Fazli Baharuddin.

Begitupun, Dollah masih enggan mendabik dada mengenai kemenangan yang diraih anak buahnya itu, sebaliknya mengingatkan mereka agar memberi fokus penuh dalam setiap perlawanan yang bakal diharungi selepas ini.

"Pemain diminta lebih fokus pada temasya kali ini kerana cabaran akan lebih sukar lebih-lebih lagi dengan keadaan cuaca panas di Terengganu," tambahnya.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor meraih emas acara bola sepak adalah ketika mereka menjadi tuan rumah pada edisi Sukma 1998.

Sementara pada edisi 2006 di Kedah lalu, Selangor tersingkir pada saingan peringkat kumpulan.

Selangor yang diundi dalam Kumpulan B akan menentang Sabah Jumaat ini diikuti menentang naib juara 2006, Kedah pada hari Ahad.

KOSMO

No comments: