Wednesday, May 28, 2008

Mohd Arif galas cabaran badminton NS

Oleh Mohd Amin Jalil

SKUAD badminton Negeri Sembilan menagih sumbangan naib juara remaja Asia 2007, Mohd Arif Abdul Latif untuk merealisasikan sasaran meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XII di Terengganu.

Pemain remaja kebangsaan itu yang turut bersama dalam skuad Piala Thomas negara di Jakarta baru-baru ini, akan beraksi dalam acara perseorangan dan beregu campuran bersama kakaknya, Nairul Syuhada Abdul Latif.

Pengurus pasukan, Shabaruddin Ali, berkata skuad Negeri Sembilan membariskan 16 pemain untuk menggalas cabaran pada temasya kali ini, yang kebanyakannya pemain berpengalaman kerana sering bertanding pada kejohanan remaja kebangsaan termasuk peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).


Beliau berkata, pihaknya yakin dengan barisan pemain terutama Mohd Arif yang sudah membuktikan kredibilitinya selaku pemain perseorangan berbakat besar selepas menerima bimbingan sempurna kendalian Persatuan Badminton Malaysia (BAM), malah Sukma ini adalah penyertaan keduanya.

"Mohd Arif adalah sandaran utama kami menerusi acara perseorangan dan beregu campuran berpasangan dengan Nairul Syuhada, yang tidak kurang hebatnya kerana sering menyertai kejohanan peringkat negeri, sirkit remaja kebangsaan dan jemputan luar negara.

"Bagaimanapun, mereka yang lain yang turut berada dalam kelompok 16 pemain ini juga berkemampuan mencipta kejutan untuk meraih emas sekali pun reputasi mereka tidak sehebat Mohd Arif," katanya.

Pemain lain yang menganggotai skuad berkenaan antaranya ialah Nairul Athirah Abdul Latif, Nairul Nabilah Abdul Latif, Aliff Esro Mohd Romzi, Low Wei Seng, Goh Sze Boon, R Dinesh, P Patmanathan, S Thaswani dan Eng Loo Heng.

Acara badminton yang menawarkan tujuh emas akan bermula Ahad ini bagi kategori berpasukan.

Menurut Shabaruddin, prestasi semua pemain amat memberangsangkan selepas menjalani latihan intensif di bawah bimbingan jurulatih Zainal Nasir dan kini mereka sudah sedia untuk memulakan aksi cemerlang seperti yang diharapkan.

"Kami yakin dapat melakukan yang terbaik pada temasya kali ini berbanding di Kedah dua tahun lalu apabila berjaya membawa pulang satu emas, dua perak dan dua gangsa," katanya yang menegaskan antara pencabar utama mereka ialah Sabah, Selangor dan Kedah.

Berita Harian

No comments: